Saturday, May 9, 2015

Sinar Katod

Sinar katod (cathode rays) terdiri daripada alur elektron berhalaju tinggi yang bergerak mengikut garis lurus.

Tiub sinar katod adalah tiub vakum yang terdiri daripada tiga bahagian utama, iaitu:
  1. Senapang elektron (electron gun).
  2. Sistem pemesongan (deflection system).
  3. Skrin pendarfluor (fluorescent screen).
Senapang elektron terdiri daripada katod dan anod yang disusun secara linear dalam suatu tiub vakum.

Senapang elektron.

Katod dipanaskan oleh filamen untuk memancarkan elektron.

Suatu voltan yang tinggi dikenakan merentas anod dan katod supaya elektron-elektron dapat dipecutkan (accelerated) dengan halaju yang tinggi ke arah anod.

Elektron-elektron ini menumpu sebagai suatu alur elektron yang halus selepas melalui lubang halus dalam silinder anod. Alur elektron yang halus ini dipanggil sinar katod.

Sinar katod kemudiannya menghentam skrin pendarfluor untuk menghasilkan tompok cahaya dengan menukarkan tenaga kinetiknya kepada tenaga cahaya.

Alat-alat berdasarkan prinsip operasi ini termasuklah tiub gambar televisyen, monitor komputer, osiloskop sinar katod (O.S.K.), skrin radar dan tiub sinar-X.

Ciri-ciri Sinar Katod
  • Sinar katod bergerak mengikut garis lurus.
  • Sinar katod menyebabkan zink sulfida (salutan pada skrin pendarfluor) berpendarfluor disebabkan ia mempunyai tenaga kinetik yang tinggi.
  • Sinar katod dipesongkan oleh medan elektrik dan medan magnet kerana sinar katod ialah zarah bercas negatif.
  • Sinar katod menghasilkan kesan pengionan apabila melalui udara atau gas.
  • Sinar katod boleh menembusi kertas atau lapisan grafit yang amat nipis.
  • Apabila sinar katod ditembak kepada sasaran logam seperti tungsten, sinar-X akan terhasil.

4 comments:

  1. Terima kasih atas perkongsian.. Sangat membantu saya untuk menduduki pt3 tahun ni.. Semoga ilmu yg dikongsikan bermanfaat untuk orng lain juga..

    ReplyDelete