Tuesday, March 31, 2015

Termometer

Terdapat pelbagai jenis termometer. Termometer (thermometer) yang paling biasa digunakan dalam kehidupan seharian kita adalah termometer cecair-dalam-kaca, termometer digital dan termometer gelungan.

Pemilihan termometer yang digunakan adalah bergantung kepada:
  • Julat suhu yang hendak diukur.
  • Kejituan yang dikehendaki, dan
  • Keadaan fizikal bagi bahan yang hendak diukur.
Sebarang sifat fizik yang berubah dengan suhu boleh digunakan sebagai asas untuk membina termometer. Contoh-contoh sifat fizik yang boleh digunakan ialah:
  • Pengembangan cecair dengan jisim tetap.
  • Rintangan elektrik dawai platinum.
  • Daya gerak elektrik termogandingan.
  • Pengembangan jalur dwilogam.
  • Tekanan gas pada isipadu tetap.

Termometer digital (digital thermometer) menggunakan perintang terma atau termistor sebagai penderia suhu. Termistor mengubah rintangannya dengan perubahan suhu. Litar elektronik di dalam termometer mengukur rintangan dan menukarkannya kepada suhu yang kemudiannya tertera sebagai bacaan suhu pada termometer.

Termometer digital.

Termometer gelungan (coil thermometer) menggunakan pengembangan jalur dwilogam untuk mengukur suhu. Jalur dwilogam (bimetallic strip) terdiri daripada dua jalur logam seperti kuprum dan besi yang dicantumkan dengan rivet. Apabila dipanaskan, kuprum akan lebih mengembang daripada besi. Ini menyebabkan jalur dwilogam itu melengkung dan jumlah lengkungan itu adalah petunjuk bagi suhu.

Jalur dwilogam.


Termometer gelungan.

Suhu yang sangat tinggi boleh disukat dengan termometer termogandingan (thermocouple thermometer). Termometer termogandingan terdiri daripada dua jenis dawai yang berlainan seperti kuprum dan besi yang disambungkan untuk membentuk dua cabang. Jika cabang-cabang itu berada pada suhu yang berlainan, d.g.e. dihasilkan menyebabkan satu arus yang kecil mengalir melalui dawai-dawai itu. Magnitud arus yang dihasilkan adalah petunjuk suhu bagi cabang yang panas. Termometer termogandingan boleh menyukat suhu dari –200 °C hingga 1 700 °C. Oleh itu, termometer termogandingan sesuai untuk mengukur suhu dalam relau.

Termometer termogandingan.

No comments:

Post a Comment